Penipuan seorang maid terhadap majikan yang dulunya menimbulkan kemarahan dan dendam yang mendalam. Kenapa dia menipu, adakah kerana dia ingin kembali ke pangkuan suami dan anak-anaknya. Katanya, suaminya tidak mengizinkan dia kembali berkerja dengan kami setelah kami mengizinkannya pulang untuk bercuti. Mungkin ramai majikan di luar yang pernah senasib dengan kami atau mengalami pengalaman yang lebih buruk dan tragis. Mujurlah, dalam kes kami, dia hanya pulang bercuti tetapi tidak sampai mendera anak ataupun melarikan diri. Maksudnya, masih dalam pengetahuan kami. Pernah kami memujuk dia untuk kembali tetapi dia tetap dengan jawapan yang sama. Akhirnya kami bertenang dan bersikap lebih realistik.
Jika kami memaksa dia kembali berkerja dengan kami walaupun suaminya tidak mengizinkan maka kami akan rasa bersalah pula. Mungkin kembalinya nanti akan lebih menimbulkan banyak masalah dan mudharat kepada kami. Maka kami lepaskan dia. Kami telah mengambil tindakan yang sewajarnya. Membuat report polis dan membatalkan permit di imigresen. Namanya telah disenarai hitamkan oleh imigresen.
Dan kami tidak serik untuk mengambil maid lagi tetapi mungkin pengalaman yang lalu sentiasa menjadi panduan agar tidak terlalu mempercayai mereka. Tidak salah jika berbuat baik kerana kami manusia biasa, punya rasa kasihan dan empati. Jika sikap dia seperti itu "menipu" maka dia adalah orang yang tidak tahu bersyukur.
Seperti kata seorang sahabat, Bersabarlah. Maid itu bekerja dengan cara menipu, maka wang yang dia dapat menjadi haram. Bagaimana hidupnya dengan memberi makan anak dan suami menggunakan duit haram. Dia tidak akan tenang dan bahagia sehingga dia mati. Jika dia berkata benar maka lepaskanlah dia, jika dia menipu biarlah urusan itu antara dia dengan Allah. Mungkin dia adalah orang yang tidak layak untuk menjaga anak-anak kami.
Dalam hati masih terdetik untuk berjumpa dengan dia dan bertanya bahagiakah kamu dengan perbuatan menipu. Kamu seorang Islam, solat 5 waktu dan ke mana pergi iman kamu. Moga kamu diampuni oleh Allah. Hartatik Kustam dan Purbo Sulaiman, ingatlah hari ini kamu telah mengecewakan seorang hamba Allah, mungkin kamu sedang meniti hari bahagia dan gembira di sana bersama anak-anak kamu, sedangkan di sini janji kamu masih perlu ditunaikan. Sesungguhnya kami telah dianiaya oleh kamu, kami redha dan berserah kepada Allah. La ila ha illa anta, subhanakainni kuntuminadzzalimin.
Sesungguhnya, dalam hidup ini berbuat baik itu tidak salah, kerana di situlah Allah akan menguji tahap keimanan kita sama ada benarkah kita ikhlas dan redha. Adakah hanya bercakap di mulut tetapi di hati tidak. Moga kami, anak-anak, ibu bapa dan adik beradik sentiasa berada dalam lindungan Allah dan rahmatNya, ameen.
Moga pisang tidak berbuah dua kali.
No comments:
Post a Comment