Alangkah indahnya jika setiap pagi dan petang kita diberikan kesempatan masa untuk membaca Al-Ma'thurat.
Di antara petikan dari buku kecil ini "Hakikatnya, tidak semua manusia mendapat hidayah dan menerima bimbingan Allah. Tidak semua manusia mengetahui cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Agung. Justeru, ramai yang tersesat ke lembah kebodohan dan kenistaan hidup yang berpanjangan serta jiwa yang keluh kesah. Melalui doa dan zikir, sesorang mukmin mampu mendapatkan cinta Rabbnya, terhindar daripada pelbagai gangguan jahat, dan imannya semakin kuat. Dengan doa dan zikir, hati akan menjadi hidup, tenang dan bahagia."
Jadikanlah Al-Ma'thurat sebagai amalan dalam kehidupan kita. Sebagai hambaNya, kita pernah melakukan kesilapan, pernah melakukan dosa dan ingin kembali ke pangkuanNya. Melalui doa dan zikir, hati akan menjadi tenang, resah akan terubat dan sentiasa berasa gelisah jika tidak melakukan kebaikan. Sebagai manusia biasa yang sentiasa punya kelemahan, kadang-kadang kita akan berasa resah, gelisah dan dukacita apabila hajat yang diingini lambat tercapai atau tidak tercapai. Jadi, ingatlah:
Bila Allah cepat makbulkan doamu maka Dia menyayangimu.
Bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu.
Bila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukkmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan.
Pun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya.
Selain daripada buku kecil Al-Ma'thurat, buku La tahzan (Jangan Bersedih) juga mesti dibaca.
Tanpa kita sedari, dalam perjalanan hidup kita seharian, kadang-kadang kita menghadapi banyak masalah atau kesulitan yang tidak terduga. Kesulitan dalam hidup menyebabkan kita sentiasa mencari jalan penyelesaian yang kadang-kadang kita penat dan lelah untuk menghadapi semua kesulitan itu. Pada masa inilah, kita berasa sangat sedih dan kecewa dengan semua perkara. Semangat menjadi lemah dan sering menyalahkan diri sendiri dan orang lain. Maka buku ini boleh menjadi penawar bagi hati. Di antara sub topik yang selalu menjadi rujukanku ialah "Sesungguhnya Setelah Kesulitan Ada Kemudahan." Petikan yang menarik jiwa dan menggembirakan hati yang resah ialah "Wahai manusia, setelah lapar ada kenyang, setelah haus ada kepuasan, setelah berjaga malam ada tidur nyenyak dan setelah sakit ada kesembuhan. Setiap yang hilang pasti ketemu, dalam kesesatan akan datang petunjuk, dalam kesulitan ada kemudahan dan setiap kegelapan akan terang benderang. Sampaikan khabar gembira kepada malam hari bahawa, sang fajar pasti datang mengusirnya dari puncak-puncak dan dasar-dasar lembah, kepada orang yang dilanda kesusahan bahawa pertolongan akan datang secepat kilat cahaya dan kerdipan mata, kepada orang yang ditindas bahawa kelembutan dan dakapan hangat akan segera tiba."
Jom ubati jiwa, kita manusia biasa yang selalu melakukan kesilapan. Moga zikir dan doa menjadi ubat dan penawar manakala buku La Tahzan menjadi teman dan pembangkit motivasi diri sewaktu kita tiada rakan dan sahabat untuk mengadu nasib diri. Hanya kepada Allah kita berserah dan Dia Maha Mengetahui.
Petikan terakhir daripada buku La Tahzan "Sebagai seorang hamba, dia tidak berhak mengatur qadak dan qadar Allah, dengan menerima yang dia mahu dan tidak menerima yang dia tidak mahu. Kerana pada dasarnya manusia itu tidak diberi hak untuk memilih, hak itu milik Allah kerana Dia lebih mengetahui, lebih bijaksana, lebih agung dan lebih tinggi. Kerana Allah mengetahui alam ghaib, mengetahui segala rahsia dan mengetahui akibat dari segala perkara."
Moga hari ini kita akan menjadi lebih baik dari hari semalam. Perubahan itu walaupun sedikit tetapi amat bermakna. Moga kita sentiasa dalam RahmatNya. Ameen.